Sabtu, 27 Oktober 2012

Keperluan Solat Berjemaah sempena Hari Raya AidilAdha

with 2 comments
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Selamat Hari Raya Aidil Adha, Selamat menunaikan Ibadah Korban (bagi yang menunaikan Ibadah Korban), dan selamat menunaikan Ibadah Haji (Bagi yang menunaikan Ibadah haji).. Semoga amal Ibadah kita sempena Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini diterima oleh Allah S.W.T..

Syukur Alhamdulillah.. perayaan Hari Raya Aidil Adha pada hari ini disambut dengan sederhana.. dan dengan Izin Allah segala-galanya berjalan dengan lancar...  


Bermula dengan tadbir Raya selepas menunaikan Solat Maghrib pada 9 Zulhijjah (Khamis), menunaikan solat Sunat Aidil Adha pada pagi 10 Zulhijjah (Jumaat), dan seterusnya aktiviti gotong royong bersama penduduk kampung untuk "menguruskan" 4 ekor lembu berjaya dilaksanakan sebaik sahaja selesai menunaikan Solat Jumaat.. Syukur Alhamdulillah.. Semuanya berlaku dengan izin Allah S.W.T..

Dalam menikmati suasana berhari raya di kampung halaman, banyak ilmu baru yang sempat saya pelajari pada hari ini melalui Kutbah Solat Hari Raya Aidil Adha, Khutbah Sembahyang Jumaat, dan melalui rancangan tv1 yang ada membincangkan tentang Ibadah Korban..

Jadi di sini saya ingin berkongsikan sebahagian daripada ilmu tersebut untuk panduan kepada diri saya dan juga kepada kita semua.. Ilmu agama ini kita perlu pelajari dari masa ke semasa.. Maklumlah sebagai manusia biasa, kita ni mudah lupa.. Hari ni kita belajar, esok lusa mungkin kita dah lupa.. Jadi apabila kita sedang beringat, eloklah kita sebarkan ilmu tersebut kepada orang lain.. Seandainya orang lain mengamalkannya.. Insya Allah, dapatlah juga sedikit pahala dengan keizinan Allah..

Umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadat pada malam Aidiladha. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: 
"Sesiapa yang menghidupkan dua malam Aidilfitri dan Aidiladha (dengan ibadat), maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana hati-hati manusia akan mati (iaitu leka dari mengingati Allah SWT)". (riwayat Ibnu Majah). 
Maksud yang ingin disampaikan melalui Hadis ini ialah.. Hati orang yang melaksanakan amal Ibadah pada malam Aidilfitri dan Malam Aidiladha akan dipelihara oleh Allah S.W.T supaya tidak terlalu taksub dengan kehidupan dan kemewahan di dunia ini, sehingga terlupa untuk melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan terhadap Allah S.W.T..

Antara kewajian kita kepada Allah S.W.T seperti menunaikan solat, berpuasa, menunaikan zakat, melaksanakan Ibadah-ibadah lain dan sebagainya.. Selain itu kita juga dituntut untuk menguruskan amanah terhadap harta yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita supaya diagihkan kepada fakir miskin melalui beberapa cara seperti menunaikan zakat, besedekah, dan melaksanakan Ibadah Korban..

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan orang yang dimatikan hatinya seperti dalam hadis di atas..
"Daripada hadis sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Maksudnya : Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid. "

"Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a. Maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis. "

Menurut huraian ulama bahawa takbir Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha hukumnya sunat.
Secara umumnya, disunatkan bertakbir bermula dari tenggelam matahari pada malam hari raya di masjid, surau, rumah, jalan raya, pasar dan selainnya dengan suara yang tinggi atau nyaring sehinggalah Imam bertakbiratul Ihram untuk solat sunat hari raya.

Dalilnya didalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:-
“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”
Menurut Ulama, ayat ini berkenaan dengan takbir raya fitrah (puasa) manakala takbir raya korban diqiaskan hukumnya dengan takbir raya fitrah.

Dalil yang kedua pula ialah di dalam surah Al-Baqarah ayat 203 yang bermaksud:

“Dan ingatlah (sebutlah) akan Allah pada hari hari tertentu ….”
Ibnu Abbas r.a berkata: yang dimaksudkan dengan hari hari yang  tertentu adalah hari hari tasyrik.

Takbir Hari Raya Idul Adha

Takbir Idul Adha terbahagi kepada dua, iaitu :

1). Takbir mursal - Takbir yang tidak mengiringi sembahyang fardu

Waktu takbir mursal dari terbenam matahari pada malam hari raya Aidil Adha dan hari raya Aidil Fitri sehinga takbir imam sembahyang hari raya, sekiranya seorang itu sembahyang hari raya berjemaah..

Sekiranya seorang itu sembahyang seorang diri maka habis waktu takbir mursal baginya ialah dengan dia melaksanakan takbir sembahyang hari raya untuk dirinya.. bagi orang yang tidak sembahyang hari raya pula, habis watu takbir mursal untuk dirinya ialah apabila tergelincir matahari hari raya.

Melalui penjelasan ini menunjukkan Setiap orang disunatkan bertakbir mursal melainkan orang yang pergi menunaikan Haji, kerana mereka disunatkan talbiah selama mereka berada dalam ihram, setelah mereka tahlul maka sunat bertakbir.

2). Takbir muqayad - Takbir yang mengiringi (selepas) sembahyang

Waktu Takbir muqayad bermula dari terbit fajar (subuh) 9 zulhijjah sehinga terbenam matahari pada hari yang ke 13 zulhijjah.

Ramai dikalangan masyarakat yang tidak tahu bila bermulanya takbir muqayad yang kita panggil takbir hari raya Aidil Adha, mereka menyangka takbir ini bermula pada malam hari raya iaitu pada malam sepuluh zulhijah.. Sebaliknya ia bermula ketika masuk waktu subuh hari arafah iaitu sembilan zulhijah.

Takbir muqayad sunat dibaca selepas tiap tiap sembahyang sama ada sembahyang fardu atau sembahyang sunat , sembahyang jenazah, dan sembahyang sunat hari raya sebelum khatib membaca khutbah.

Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, kita disunatkan untuk bertadbir setiap kali selepas selesai menunaikan Solat Fardhu bermula pada terbit matahari 9 Zulhijjah sehingga terbenam matahari pada hari yang ke 13 zulhijjah.

Tetapi berapa ramai yang telah melakukannya.. Secara jujurnya saya mengakui hanya melakukan sebahagian sahaja, disebabkan Saya tidak melakukannya semasa solat bersendirian sewaktu di rumah..

Alasannya.. Agak malu untuk melafazkan tadbir seorang diri sewaktu berada di rumah kedua ibu bapa dan sewaktu berada di rumah mertua.. maklumlah suara saya tidaklah semerdu mana.. Jadi rasa janggal untuk melaungkan takbir di dalam rumah yang dipenuhi dengan adik beradik sendiri  (Rumah Ibu bapa) dan adik beradik isteri (rumah mertua)..

Adakah anda juga mempunyai perasaan yang sama seperti saya?

Sekiranya ada.. Bagaimanakah cara terbaik untuk mengatasinya? 

Caranya mudah sahaja.. Lakukanlah solat Fardu secara berjemaah di surau atau Masjid.. Di sana adalah tempat terbaik untuk melaungkan takbir tanpa perlu rasa segan silu..

Dalam Islam sebenarnya kita dituntut untuk melakukan zolat secara berjemaah.. Begitu besar ganjaran pahala bagi orang yang bersembahyang secara berjemaah berbanding orang yang bersembahyang bersendirian...


Jadi sempena Hari Raya Aidil Adha ini marilah kita cuba meluangkan masa sekurang-kurangnya sehari satu waktu untuk bersembahyang berjemaah di surau atau masjid.. Dapatlah kita melaungkan takbir hari raya bersama para jemaah yang lain... 


Kita cuba mulakan dengan satu Azam sebelum tidur.. Untuk hadir menunaikan solat secara berjemaah pada waktu Subuh keesokan harinya... Insya Allah, minda separa sedar kita akan menyedarkan kita sebelum berkumandangnya azan Subuh pada keesokan hari...


Seandainya tidak berjaya menunaikan Solat Subuh secara berjemaah, disebabkan keenakan diulit mimpi... Cubalah berazam untuk menunaikan solat secara berjemaah pada waktu Zohor dan Asar pula..

Ataupun pada waktu Maghrib dan Isyak.. Yang membolehkan kita mempunyai lebih banyak masa untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T..

Insya Allah dengan keazaman dan niat yang kuat.. Pasti anda berjaya menunaikan solat secara berjemaah di musim perayaan Hari Raya Aidil Adha ini..


Selain itu kita juga boleh melaungkan takbir raya semasa sedang bergotong-royong menyembelih binatang korban.. Kita melaksanakan ibadah Korban dengan niat untuk menghambakan diri kepada Allah S.W.T.. Supaya ibadah korban yang kita lakukan diterima oleh Allah S.W.T..

Jadi antara perkara yang dituntut sewaktu melakukan Ibadah Korban ialah:

  • Individu atau wakil yang melakukan Ibadah Korban seharusnya perlu berada di tempat penyembelihan
  • Iringi penyembelihan binatang Korban dengan laungan Takbir

Berdasarkan pemerhatian saya semalam.. Saya dapati golongan yang melaungkan takbir hanyalah terdiri daripada golongan orang-orang tua.. Golongan muda kelihatan bersemangat untuk memegang biantang sembelihan, tanpa turut serta melaungkan tadbir.. Mungkin pada ketika itu mereka tidak tahu fadilat melaungkan Takbir sewaktu sembelihan dilakukan.. 

Jadi kepada anda yang membaca artikel ini, harap sampaikanlah maklumat ini kepada rakan-rakan anda, supaya kita sama-sama tahu apa yang sebaiknya kita lakukan semasa melaksanakan/membantu orang ramai melaksanakan ibadah korban..

Wallahualam.... Saya juga menjemput anda untuk membaca Pesanan terakhir Rasulullah  S.A.W dengan klik di sini

Insya Allah.. Sekiranya ada kelapangan masa, saya akan cuba untuk menulis tentang agihan daging korban... 

P/S: Saya mengalu-alukan kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk "copy and Paste" artikel ini di blog anda, supaya kita dapat bersama-sama berdakwaah secara tidak langsung kepada rakan pembaca blog kita..


2 ulasan:

  1. Mula pelahan-lahan, insya-Allah boleh....

    My recent post : #8 Idea Menulis Blog

    BalasPadam
  2. Kurang pendedahan dan ilmu menjadi faktor golongan remaja ketinggalan dalam membuat pahala.

    BalasPadam

Muhamad Anuar Marsib. Dikuasakan oleh Blogger.

Senarai Blog Rakan2

Follower

Pembaca Paling Mesra