Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Terlebih dahulu, saya nak ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi membeli cadar Patchwork Cotton daripada saya dan isteri.. Sepanjang kami menjalankan perniagaan ini pada tahun 2014.

Terima kasih banyak-banyak ye.. Di atas sokongan yang diberikan.. Diharap anda berpuas hati menggunakan cadar Patchwork Cotton tersebut.. ;)

Memang selesa dapat berselimutkan Cadar Patchwork Cotton ni... Lepas bangun tidur, nak kemaskan pun senang.. Tak macam, cadar-cadar yang kita ada sebelum ni..

Sebab tu isteri saya cukup suka dengan cadar ni.. Daripada pengalaman membeli satu dekat AEON.. terus ketagih nak buat koleksi.. Tapi harga Cadar ni mahal.. Disebabkan nak sangat buat koleksi kenalah beli dalam satu kuantiti yang banyak... Baru boleh buat harga murah...

Daripada minat yang teramat sangat terhadap Cadar Patchwork Cotton ini, telah menyebabkan kami bertukar... Daripada hanya menjadi seorang pengguna biasa, kepada menjadi seorang peniaga..

Tetapi..

Pada tahun 2015, saya dan isteri sudah tidak lagi berminat untuk meneruskan perniagaan ini, atas sebab-sebab tertentu daripada prospek seorang peniaga.. 


Bermula tahun 2015, Saya tidak lagi Menjual cadar Patchwork Cotton

Walaupun sekarang ni dah tak berniaga lagi... Tapi masih ada yang bertanya tentang stok Cadar Patchwork Cotton daripada saya...

Antara pembaca Blog saya yang bertanya tentang Cadar Patchwork Cotton

Di Facebook pun, rupanya ramai yang berminat nak tahu. Kenapa saya tidak lagi Menjual Cadar Patchwork Cotton?



Baiklah untuk menjawab soalan tersebut, di sini saya senaraikan 7 sebab kenapa saya tidak lagi menjual cadar Patchwork Cotton.


1. Perlu modal yang besar untuk mendapatkan Stok Cadar Patchwork Cotton pada harga yang murah



Pertama kali isteri saya membeli satu set Cadar Patchwork Cotton, harga yang kami bayar sekitar RM180. Mahal.

Kemudian pada satu hari tu, kami cuba membeli cadar Patchwork Cotton dalam kuantiti yang agak banyak.. Masa tu ayah mertua dan adik-adik ipar pun teringin nak beli sama.. Beli 6 set dekat Taiping, dapat harga murah sikit..

Apabila rakan-rakan kami tengok cadar yang kami pakai lain daripada kebiasaan.. Mereka pun teringin nak beli cadar macam ni, tapi tak tahu nak beli dekat mana?..   Sebab masa tu setok cadar ni memang susah nak dapat.. Masih belum ada lagi di jual dekat pasar-pasar malam, pasar-pasar raya, dan kedai-kedai biasa ni.. Ada tempat-tempat tertentu sahaja boleh dapat cadar ni.. Biasanya daripada pemborong..

Disebabkan kami kenal salah seorang "pemborong", jadi kami cuba deal harga....

Hasil perbincangan kami, dapatlah harga murah iaitu RM110/set dengan syarat pembelian minimum sebanyak 50 set.

Kalau beli bawah 50 memang tak boleh nak dapat harga murah..

Harga paling murah yang pernah kami dapat ialah RM80/set.. Tapi kena beli dalam kuantiti 100 unit.. Boleh dapat harga RM80/set ni pun sebab supplier Cadar bagi komisyen kepada kami kerana memperkenalkan pembeli baru kepada mereka... Bukan mudah tahu nak dapat harga macam ni..

Secara kesimpulannya, nak dapat harga murah kena sediakan modal yang besar.. kalau modal tak berapa nak besar, agak susah juga nak berniaga cadar ni..

Sepanjang saya terlibat menjual Cadar Patchwork Cotton, saya pernah mendapatkan Stok daripada 3 pembekal iaitu: 
  1. Usahawan Cadar Online, Shah Alam (012-3050090)
  2. Nurhidayah, Taiping Perak (013-5000420)
  3. Pemborong cadar, Penang (Cadarborong.com)

Ok... Cukup setakat ini sahaja untuk bab ini, kita sambung kepada sebab yang kedua.


2. Margin Keuntungan yang Kecil disebabkan Kos Penghantaran yang tinggi




Sebelum ini saya ada bagi tahu, modal satu set cadar untuk pembelian 50 set cadar ialah RM110/set .. 

Kena jual harga yang lebih murah daripada AEON.. Jadi, kami jual RM150/set ikut harga pasaran semasa para penjual online.. 

Tapi berat cadar ni seunit dekat 2KG. Kos penghantaran cadar paling murah untuk satu set cadar ialah antara RM12-RM15 (Berat tak konsisten sama).. Guna perkhidmatan GDEX. Kalau guna Pos Laju (Pejabat Pos) lagi mahal..

Kami tak sampai hati nak letakkan kos penghantaran mahal kepada pelanggan kami.. Kami kenakan kos penghantaran paling tinggi pun cuma RM10 sahaja.. Kos selebihnya seperti duit minyak dan kos pembungkusan kami yang tanggung. 



Kos Penghantaran Cadar Patchwork Cotton tinggi

Jadi, margin keuntungan kami untuk satu set cadar Patchwork Cotton sekitar RM25 (23%). Margin keuntungan yang Rendah berbanding kos dan harga jualan yang tinggi.



3. 
Pelanggan datang dan pergi mengikut musim



Rata-rata pelanggan Cadar Patchwork Cotton terdiri daripada kaum wanita yang berkeluarga.. Pelanggan bujang pun ada, tetapi lebih ramai yang sudah berkeluarga.

Pelanggan berminat membeli Cadar Patchwork Cotton ni mengikut musim.. Bilamana, duit gaji mereka tidak banyak digunakan untuk keperluan keluarga.

Disebabkan itu, apabila masuk bulan Ramadhan dan di penghujung tahun, jualan Cadar Patchwork Cotton ini terus jatuh menjunam. Guna FBAds untuk buat promosi pun tak boleh nak jalan..

Sebab budget yang kaum-kaum ibu ada pada ketika ini untuk digunakan membeli baju raya, persiapan raya, baju sekolah dan persiapan sekolah...  Perbelanjaan untuk keperluan tersebut lebih penting berbanding keperluan yang lain..

Untuk maklumat lanjut, saya ada berkongsikan pengalaman kami yang tidak seberapa ini dalam entri bertajuk 10 Perniagaan yang sesuai dijalankan sebelum dan semasa bulan Ramadhan



4. Tidak boleh nak hasilkan jualan berulang kepada pelanggan yang sama



Sebuah perniagaan yang baik ialah apabila kita dapat hasilkan jualan berulang kepada pelanggan yang sama (Regular Customer). Tempoh jualan berulang mungkin memakan masa sebulan sekali, seminggu sekali atau setiap hari. 

Contohnya macam kedai makan, kedai menjual topup, kedai servis kereta, kedai runcit, stesyen minyak dan sebagainya. Apabila keadaan berlaku barulah boleh menghasilkan jualan yang konsisten pada setiap bulan.

Tetapi dengan menjual Cadar Patchwork Cotton semata-mata mustahil untuk anda berjaya menghasilkan jualan berulang kepada pelanggan yang sama. Ada tu memang lah ada.. Tetapi setakat mana seorang pelanggan boleh membeli secara berulang dengan kita.

Kalau ada pun hari ni beli untuk diri sendiri, Minggu depan beli untuk emak ayah, minggu lagi satu beli untuk emak mertua, minggu seterusnya beli untuk koleksi diri sendiri lagi, minggu berikutnya pula beli untuk adik beradik... Dah habis semua tu, mereka dah tak ada tujuan nak beli secara berulang daripada kita... Sebab keperluan untuk membeli sudah tidak ada lagi..

Jadi, setiap masa kita perlu mencari pelanggan yang baru untuk menghabiskan stok cadar yang kita ada... Tentulah agak meletihkan..



5. Tidak dapat menyediakan Cadar yang dapat memenuhi Semua Cita rasa Pembeli



Cita rasa setiap pelanggan tidak sama diantara satu sama lain. Walaupun isteri saya telah memilih design yang berkenan di hati beliau, tetapi bukan semua pelanggan berminat dengan design tersebut.

Kadang tu ada design yang ramai pelanggan minat, tapi stok yang ada pada kami adalah terhad... Katakan kami ambil satu design tu sebab cantik.. 

Walaupun cantik, tapi kami tak dapat nak ambil banyak untuk satu-satu design... Sebab ia akan memberi risiko kepada kami, sekiranya tiada orang yang berminat terhadap design tersebut. Jadi, untuk mengambil jalan selamat, kami akan ambil 2 atau 3 set sahaja untuk setiap design. 



Apabila kami menjual secara online atas kekuatan "Design yang Cantik".. Pelanggan akan membuat perbandingan design-design yang ada pada kami dengan design-design yang ada pada penjual online yang lain.

Kadang tu ramai yang nak satu-satu design tu... Tapi kami dah kehabisan stok... Sebab stok kami adalah terhad.. 

Design yang tinggal mereka tidak berminat.. Nak dapatkan stok untuk design yang mereka mahukan agak memakan masa.. 

Jadi, bukan senang nak memenuhi citarasa pembeli secara Online... Untuk peniaga yang mempunyai stok yang terhad seperti kami...

Kesudahannya, ada design yang terpaksa mengambil masa yang lama untuk dijual...

  

6. Persaingan yang tinggi daripada peniaga lain (Jerung Vs Ikan Bilis)


Dalam perniagaan cadar Patchwork Cotton ni modal kena tinggi, supaya dapat borong terus dari Cina dengan kuantiti yang banyak.

Bila beli banyak, dari Cina pula tu... Kos yang pemborong keluarkan  untuk setiap unit cadar Patchwork Cotton jadi murah...

Sekarang ni dah ramai orang yang borong cadar patchwork Cotton dari Cina, kemudian mereka jual online dan Offline..

Lepas tu mereka main harga... Sekarang ni dekat pasar-pasar malam pun dah banyak orang jual Cadar Patchwork Cotton pada harga yang murah.. Ada tu saya pernah jumpa peniaga jual RM115 sahaja untuk setiap set.

Macamana saya nak bersaing dengan harga semurah itu?... Kita beli dari pemborong pun dah mahal... RM110/set untuk pembelian 50 set... Mampukan saya nak jual secara online semurah RM115/Set?

Memang takkan mampu punya...


7. Tak dapat nak pusing balik modal perniagaan


Perniagaan Cadar Patchwork Cotton yang kami lakukan tidak berjaya mendapatkan keuntungan seperti yang diharapkan...

Untung tu ada tapi, tak balik modal..

Sebab untuk berniaga Cadar Patchwork Cotton ini, saya telah memajak emas yang saya ada untuk dijadikan modal perniagaan.

Setiap bulan saya kena bayar upah simpan emas melebihi RM50. Sekiranya Stok jualan Cadar Patchwork Cotton dapat dihabiskan dalam tempoh masa yang kami tetapkan... Kami  dapat menebus emas yang kami pajak dengan cepat dan dapatlah kami mengurangkan kos membayar upah simpan emas.. Daripada situ, dapatlah kami sedikit keuntungan...

Tapi disebabkan stok jualan cadar lambat dihabiskan.... Nak ambil stok baru, risau... Sebab stok lama belum habis lagi... 

Nak tebus emas pula, modal belum cukup lagi... Sebab modal masih ada dekat stok cadar yang belum habis dijual....

Kesudahannya... Tempoh pajakan emas terpaksa dilanjutkan.... Upah menyimpan emas terus bertambah... 

Apabila kami membuat perkiraan semula, setelah hampir semua stok cadar habis dijual... Kami mengalami kerugian..

Bila dah rugi... Memang tak beranilah nak ambil stok cadar lagi...