Rabu, 3 September 2014

Berita Sedih pada Hari Pertama Majlis Konvokesyen ke 9 PSIS

with 0 Comment
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Semalam merupakan hari Pertama berlangsungnya Majlis Konvokesyen ke 9 PSIS (2014), yang melibatkan graduan-graduan dari 2 jabatan akademik iaitu Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Awam.

Semasa majlis diadakan kami dikejutkan dengan berita sedih, dimana bapa kepada seorang graduan kami terlibat dalam kemalangan Jalan raya sehingga maut.. 


Berita tentang kemalangan tersebut ada disiarkan dalam akhbar Harian Metro Online pada pagi ini..

"Tanjong Karang: Harapan menggunung seorang bapa menyaksikan hari bersejarah anak gadisnya di majlis Konvokesyen Ke-9 Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sungai Ayer Tawar, dekat sini berakhir tragedi selepas terbunuh dalam kemalangan turut mengorbankan seorang penunggang motosikal, semalam.
Mangsa, Mazni Abdul Ghani, 58, yang memandu Perodua Myvi, maut di tempat kejadian, selepas kereta dipandunya melanggar sebuah lori sebelum merempuh motosikal dinaiki seorang lagi mangsa, Rahman Rashid, 46.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taib Ahmad, berkata kejadian berlaku jam 7.30 pagi semalam selepas kereta yang dipandu Mazni dari Kuala Lumpur, bergesel dengan kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.
Menurutnya, kejadian di KM 59, Jalan Klang-Teluk Intan, itu membabitkan lima kenderaan kerana kenderaan dipandu Mazni kemudian melanggar sebuah lori yang membawa muatan barangan elektrik dari Kedah ke Negeri Sembilan lalu terbabas dan merempuh pula sebuah motosikal.
KENDERAAN dipandu Mazni terbabas ke dalam parit.
“Sebuah lagi kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki dua individu terbabas ke dalam parit berhampiran kerana mahu mengelak Perodua Myvi mangsa,” katanya. Menurutnya, Mazni dan Rahman, seorang pemandu di Pejabat Daerah Kuala Selangor maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan.
“Polis difahamkan, Mazni yang memandu dari Kuala Lumpur menghala ke Sabak Bernam dalam perjalanan untuk ke Istiadat Konvokesyen anak gadisnya di PSIS, Sungai Ayer Tawar manakala Rahman pula dalam perjalanan ke tempat kerja di Pejabat Daerah Kuala Selangor, dari rumahnya di Sekinchan.
“Kedua-dua mangsa mengalami cedera parah di kepala dan mayat mereka dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk dibedah siasat,” katanya.
Mohd Taib berkata, pemandu lori dan pemandu serta penumpang kedua-dua kereta yang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan."

Takziah saya ucapkan kepada Hanis Nadirah Mazni dan keluarga... Semoga mereka sekeluarga tabah menerima Qada' dan Qadar Allah S.W.T... Setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Hanya Allah yang lebih mengetahui segalanya..

Al-Fatihah untuk arwah Mazni Abdul Ghani, bapa kepada graduan kami HANIS NADIRAH BINTI MAZNI .. Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin.



0 comments:

Catat Ulasan

Muhamad Anuar Marsib. Dikuasakan oleh Blogger.

Senarai Blog Rakan2

Follower

Pembaca Paling Mesra