Isnin, 7 Mei 2012

Laksanakan Masa Kerja Anjal untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan

with 1 comment
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Kita semua sedia maklum bahawa bilangan pelajar wanita di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada hari ini melebihi bilangan pelajar lelaki dengan nisbah 60:40.. Berdasarkan nisbah tersebut secara logiknya penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan seharusnya sama atau boleh melebihi bilangan pekerja lelaki..

Tetapi statistik Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan kadar  penyertaan tenaga wanita dalam sektor pekerjaan sekadar mencatatkan 46.1% pada tahun 2010. Lebih mengejutkan, jumlah ini tidak berubah sejak tahun 1980 atau 30 tahun yang lalu..

Tentu kita agak hairankan, disebabkan statistik menunjukkan taraf pendidikan wanita dalam tempoh 3 dekad tersebut meningkat sehingga 30 peratus.. Ini merupakan satu perkara yang sangat membanggakan.. 

Pada satu masa dahulu, kebanyakan ibu bapa tidak membenarkan anak perempuan mereka belajar tinggi-tinggi.. Ini disebabkan ibu bapa pada masa dahulu beranggapan jika anak perempuan mereka belajar setinggi mana pun kesudahannya mereka akan jadi suri rumah tangga juga..  Tapi itu mentaliti ibu bapa pada zaman dahulu.. Mentaliti ibu bapa pada zaman sekarang sudah jauh berubah, mengikut perubahan zaman.. 


Ini menunjukkan satu perkembangan yang sangat baik kepada sistem pendidikan di Malaysia untuk kaum wanita.. Tetapi sayangnya sebahagian daripada mereka (wanita) yang telah menamatkan pengajian, tidak menggunakan ilmu yang mereka timba di alam pekerjaan.. Sebaliknya terdapat dalam kalangan mereka yang masih meneruskan tradisi orang dahulu, iaitu menjadi suri rumah tangga sepenuh masa..  



Kenapa perlunya peningkatan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan?

Laporan Pembangunan Manusia Asia Pasifik 2010 (AHDR) menganggarkan bahawa sekiranya kadar penyertaan tenaga wanita meningkat ke 70 peratus, kita boleh menikmati peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara dua dan empat peratus! Disebabkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita masih rendah, Malaysia kehilangan pendapatan sebanyak RM13 billion setahun..

Peratusan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan di Malaysia yang rendah menyebabkan negara jauh ketinggalan berbanding negara jiran lain termasuk Indonesia (50.8 peratus), Thailand (70 peratus), Brunei Darussalam (61.2 peratus) dan Singapura (60.2 peratus). 

Persoalannya, ke mana pergi semua wanita yang bergelar garduan tersebut? Adakah mereka tidak menjadi pilihan majikan? Apakah halangan yang mereka hadapi untuk bekerja? dan apakah usaha negara untuk melonjakkan peratus penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan sehingga mencapai 70 peratus.. Supaya dapat memastikan Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) meningkat..

Berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, menunjukkan 67.1 peratus wanita tidak menyertai sektor pekerjaan atas alasan keluarga manakala sebanyak 27.5 peratus memberi alasan masih mengikuti pengajian..

Disebalik alasan keluarga, terdapat faktor lain yang dikenal pasti iaitu kepentingan wanita dalam institusi keluarga dan budaya negara yang mana tanggungjawab menjaga bayi, mendidik anak-anak, mengurus rumah tangga serta menjaga ibu bapa yang sudah tua sering disandarkan kepada wanita..

Justeru itu, bagi menampung lebih ramai wanita dalam tenaga kerja, perubahan kepada peraturan-peraturan yang berhubung dengan pekerjaan adalah menjadi satu kemestian. Kita tidak mahu semata-mata untuk menjaga keluarga, wanita langsung tidak boleh mendapatkan sumber pekerjaan. Sebaliknya kita mengharapkan keseimbangan antara keharmonian keluarga dan kejayaan dalam kerjaya..


Menurut Dr. Jorah Ramlan (Penganalisis Kanan, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia) 
"Penglibatan sebanyak 46.1 peratus tenaga pekerja wanita itu tidak setimpal kerana dalam usaha mencapai status negara maju pada 2020, Malayisa perlu mencapai pendapatan per kapita sekurang-kurangnya AS$15,000 (RM45,423). Peningkatan golongan wanita dalam pekerjaan formal atau tidak formal juga akan membantu meningkatkan pendapatan isi rumah, sekaligus membolehkan pengagihan peningkatan pendapatan per kapita AS$5,000 (RM15,148) dengan lebih adil dan saksama".   


Jelasnya lagi, walaupun ada beberapa dasar menarik penyertaan wanita ke dalam tenaga kerja diperkenalkan, tetapi beliau mendakwa sambutannya agak menyedihkan.. Ini disebabkan kekurangan komitmen daripada sektor perniagaan dan badan bukan kerajaan. Kebanyakan majikan seakan tidak ambil peduli mengenai kesan positif sekiranya jumlah wanita menyertai sektor pekerjaan meningkat, maka pertumbuhan KDNK turut meningkat.


Dr. Jorah turut menyifatkan konsep bekerja ikut masa ditetapkan dan konsep pejabat, sudah 'lapok'. Sudah tiba masanya, kita melaksanakan masa kerja anjal yang kelihatan lebih bersesuaian dengan era komunikasi masa kini untuk sektor tertentu.


"Banyak negara maju termasuk di Eropah mengamalkan masa kerja anjal, bukannya 9 pagi hingga 5 petang kerana dalam keadaan sekarang, kalau wanita itu tidak mempunyai anak kecil, mereka masih perlu lagi menjaga hal ehwal rumah tangga dan lain-lain tanggungjawab kekeluargaan" 


Sambungnya lagi, "Dengan peningkatan teknologi komunikasi dan maklumat, tenaga kerja di sektor terntentu seharusnya boleh bekerja di mana-mana lokasi dan pada bila-bila masa. Pihak majikan perlu berfikiran terbuka dalam perkara ini"


Dr. Jorah mengakui kerajaan sudah melakukan pelbagai dasar untuk membantu wanita, tetapi ia tidak diikuti pihak swasta.. Dasar berkenaan tidak dapat dimanfaatkan pekerja wanita yang bekerja dengan sektor berkenaan.


Sebagai contoh, memperkenalkan cuti bersalin selama 90 hari yang hanya dimanfaatkan oleh 1.3 juta penjawat awam sahaja, tetapi bagaimana pula dengan nasib 3.7 juta orang yang bekerja di luar sektor awam? Antara alasan majikan yang enggan adalah mereka takut kerugian kerana memberikan gaji kepada pekerja wanita yang sedang bercuti..  sedangkan mereka tidak fikir kebaikannya dalam jangka panjang. 


Menurut Dr. Jorah lagi, "Sekiranya kita mahu lahirkan negara maju, dahului kepentingan wanita kerana mereka bukan sahaja melahirkan generasi pewaris masa depan, sebaliknya pencetus kepada kemajuan negara".


Justeru itu pihak kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar negara bantu wanita seperti berikut:
  • Dasar Wanita Negara
  • Dasar Keluarga Negara
  • Penetapan 55 peratus wanita dalam tenaga kerja menjelang 2015
  • 30 peratus wanita diperingkat tinggi korporat menjelang tahun 2016 di sektor swasta
  • Melahirkan 4000 usahawan wanita berdasarkan senarai e-kasih menjelang tahun 2012
  • Insentif cukai kepada majikan yang membina TASKA di tempat kerja
  • Cuti tujuh hari kepada bapa yang isterinya bersalin
  • 90 hari cuti bersalin
  • Masa kerja anjal untuk kakitangan kerajaan (sedang dalam percubaan)
  • Pengecualian bekerja di antara waktu 10 malam hingga 5 pagi tertakluk kepada syarat tertentu.
Sumber : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat


Pelaksanaan masa kerja anjal dilihat dapat membantu kedua ibu bapa yang bekerja, supaya dapat mengurus sebuah keluarga dengan baik. Cuba anda bayangkan bagi suami isteri yang kedua-duanya bekerja mengikut masa normal iaitu 8 pagi hingga 5 petang.. Mereka pasti akan kehilangan masa berharga bersama anak-anak dan keluarga pada setiap hari apabila pergi bekerja seawal jam 7.30 pagi dan pulang ke rumah sekitar jam 6.00 petang. Kesudahannya anak-anak akan kehilangan perhatian daripada ibu bapa mereka yang sibuk seharian di tempat kerja, dan apabila pulang ke rumah dalam keadaan keletihan..


Jadi tiada masa untuk ibu bapa memantau perkembangan anak-anak mereka, memandangkan masa pertemuan antara ibu/bapa dan anak-anak begitu singkat.. Sekiranya perkara ini berlarutan, secara tidak langsung boleh mendatangkan kesan negatif kepada institusi kekeluargaan.. Jika kita lihat pada hari ini, kebanyakan masalah keruntuhan akhlak remaja berpunca daripada kurangnya mendapat perhatian daripada kedua ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan. .   


Andaian tersebut adalah berasas walaupun saya tidak dapat membuktikannya secara statistik..  Cuba kita lihat kebanyakan cerita-cerita benar di televisyen, akhbar atau majalah.. Kebanyakan remaja yang terlibat dengan gejala sosial adalah dalam kalangan mereka yang kurang mendapat perhatian daripada keluarga disebabkan ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan urusan kerja..




Cuba anda banyangkan semasa ketiadaan kita di rumah, apakah yang anak-anak kita boleh lakukan di rumah?? Sebenarnya terlalu banyak perkara mereka boleh lakukan dengan kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini seperti DVD, Internet, Telefon bimbit dan sebagainya.. Disebabkan itu, remaja pada hari ini memerlukan pengawasan daripada ibu bapa sekalipun sewaktu berada di rumah.. Kita perlu sentiasa mengawasai tingkah laku anak-anak kita sebagai langkah pencenggahan di peringkat awal.. Kata orang mencegah lebih baik daripada merawat.. Sebelum nasi menjadi bubur.. 


Sekiranya masa kerja anjal benar-benar dapat dilakukan, si ibu mungkin hanya perlu bekerja di pejabat daripada jam 8 pagi sehingga 12 tengahari dan kerja selebihnya mungkin boleh disiapkan di rumah.. Jadi si ibu boleh meluangkan sebahagian besar masanya bersama anak-anak di rumah, untuk menguruskan keluarga di samping menyiapkan kerja-kerja pejabat.. 


Melalui cara ini mungkin akan dapat menarik lebih ramai wanita untuk menyertai sektor pekerjaan, disebabkan mereka (kaum wanita)  masih boleh bekerja mengikut kesesuaian masa walaupun mempunyai komitmen yang tinggi terhadap keluarga ..


P/s : Sebahagian daripada artikel ini mengandungi pendapat peribadi saya. Sekiranya anda mempunyai pendapat peribadi yang berbeza, boleh tinggalkan catatan anda pada ruangan komen yang disediakan.

P/s : Sekiranya anda menyukai artikel ini, sila klik pada salah satu banner di bawah dan tekan butang vote pada laman web DiGI WWWOW Awards.. TQ.

1 ulasan:

Muhamad Anuar Marsib. Dikuasakan oleh Blogger.

Senarai Blog Rakan2

Follower

Pembaca Paling Mesra