Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..
Dalam akhbar Berita Harian semalam ada mengumumkan kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900 sebulan (RM4.33 sejam), manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan (RM3.85 sejam), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebenarnya nilai pendapatan RM900 sebulan pada ketika ini masih lagi rendah berdasarkan nilai perbelanjaan semasa.. Tetapi walau bagaimanapun kita patut berterima kasih di atas usaha yang dilakukan oleh pihak kerjaan untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat..
Menurut
Datuk Seri Najib, kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada RM1,200 hingga RM1,500.
Namun untuk permulaan, katanya sebagaimana syor Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.
“Sekiranya gaji minimum ditetapkan melebihi tahap RM900 (yakni gaji pokok) kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing.
Kita semua sedia maklum baru-baru ini berlaku penyelarasan gaji dalam sektor awam yang membolehkan sebahagian besar kakitangan kerajaan menerima kenaikan gaji 13%. Dalam sektor kerajaan, perkara seumpama ini boleh berlaku disebabkan pihak yang membayar gaji kepada semua pekerjanya adalah pihak yang sama.. Iaitu kerajaan Malaysia..
Tetapi Dalam sektor swasta, pihak yang membayar gaji adalah majikan masing-masing.. Gaji yang dibayar bergantung kepada sumber pendapatan dalam perniagaan yang diceburi.. jadi adalah mustahil untuk semua syarikat-syarikat kecil mampu membayar gaji mengikut kadar minimum yang dituntut oleh pihak pekerja secara serta-merta.. Diharapkan semua pekerja di sektor swasta dapat menerima kenyataan ini..
Menurut PM: "Kadar gaji minimum yang ditetapkan tersebut tidak akan kekal statik, ia akan dikaji semula dari semasa ke semasa sejajar dengan kemampuan, produktiviti dan daya saing negara".
Gaji minimum yang diwarwarkan oleh perdana menteri akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali perkhidmatan domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya.
“Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan,” katanya semasa berucap pada majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta sempena sambutan Hari Pekerja yang disambut semalam dan sebagai hadiah istimewa daripada Kerajaan Persekutuan kepada seluruh warga pekerja.
Menurut PM lagi, kerajaan turut menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya penetapan gaji minimum itu tidak membebankan majikan dan tidak merugikan para pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.
Bagaimanapun, katanya untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil membuat persediaan, tempoh kuat kuasa bagi kategori itu ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.
Perdana Menteri berkata, pengecualian 12 bulan itu tidak meliputi kepada firma profesional seperti klinik-klinik pergigian dan perubatan; firma guaman; firma arkitek; firma juru perunding dan sebagainya; walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja lima atau kurang; mereka perlu mematuhi gaji minimum ini dalam masa enam bulan.
“Pemberian tempoh masa yang mencukupi ini adalah supaya majikan dapat membuat persediaan secukupnya bagi menstrukturkan semula gaji pekerja dan operasi perniagaan masing-masing.
“Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan,” katanya.
“Jika perkara itu berlaku, industri tidak boleh beroperasi sewajarnya dan dikhuatiri ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan. Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, kerana ini akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan nasional,” katanya.
Najib berkata, kerajaan juga sedar, bahawa menetapkan kadar gaji minimum yang berbeza antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mendedahkan kepada tohmahan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan pekerja di negeri dan wilayah tersebut.
“Perbezaan gaji antara dua wilayah ini terpaksa dilakukan kerana perbezaan struktur upah dan kos sara hidup yang ketara,” katanya.
Namun begitu, beliau berkata untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, kerajaan berharap kadar gaji minimum bagi negeri-negeri tersebut dapat diselaraskan dengan kadar gaji minimum di Semenanjung Malaysia.
Pada pendapat saya, sepatutnya gaji di dua wilayah ini adalah sama.. ataupun gaji yang diterima oleh pekerja di Sabah dan Sarawak melebihi gaji pekerja di semenanjung. Ini kerana kos sara hidup di sana sangat tinggi.. Kebanyakan barangan harian yang digunakan di sana datangnya daripada semenanjung.. Jadi mereka terpaksa membayar kos pengangkutan barangan tersebut setiap kali membeli keperluan harian..
Ini berdasarkan pengalaman saya semasa tinggal di Mukah Sarawak.. Sebagai contoh.. Harga surat khabar Utusan Malaysia adalah RM2.60 (RM1.50 di semenanjung), Majalah Mingguan Wanita adalah RM5.50 (RM3.30 di semenanjung), Ayam sekilogram dijual pada harga RM8.50 (RM6.00 di semenanjung), dan lain-lain..
Walaupun harga tersebut mahal, tapi sekali sekala kita terpaksa juga membelinya.. Bagi mereka yang bergaji agak besar, mungkin masih boleh menikmati kehidupan yang seimbang antara gaji yang diperolehi dengan perbelanjaan keperluan harian..
Tetapi bagi mereka yang bergaji di bawah RM1000.. pendapatan tersebut pastinya tidak mencukupi bagi menampung keperluan hidup di sana..
P/s: Sepanjang hidup saya, saya pernah bekerja kampung dengan bayaran RM20 sehari, kerja katering dengan bayaran RM20 sehari, Kerja menjual pakaian dengan bayaran RM20 sehari, Kerja dekat KFC dengan bayaran RM3.50 sejam, Kerja di JW Marriot Hotel Putra Jaya dengan bayaran RM5.00 sejam.. Walaubagaimanapun, saya sentiasa bersyukur dengan setiap rezeki yang saya perolehi.. ;)
0 comments:
Catat Ulasan